FEBRUARI 2024

Sistem Ibs Percepat Proses Bina Rumah Di Sarawak


KUCHING, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Kilang IBS LCDA CTR Technology Sdn. Bhd. di sini pada Selasa.

Ketika ditemui pemberita semasa sidang media,  Abang Johari berkata kilang IBS dengan nilai pelaburan kira-kira RM29 juta dapat mengeluarkan bahan komponen untuk membina rumah dan juga komponen-komponen yang lain.

Kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) milik pihak Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) CTR Technology Sdn. Bhd. mampu mempercepatkan projek perumahan terutamanya kawasan luar bandar di Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, sistem IBS merupakan kaedah yang mesra alam selaras dengan kehendak alam sekitar sekaligus menghasilkan rumah yang berkualiti.

Beliau menambah lagi , salah satu projek perumahan campuran di Jalan Depo, Samariang dan skim pembesaran kampung luar bandar di Kabong dan Asajaya akan menggunakan sistem IBS tersebut.

Dalam majlis tersebut juga, Premier turut melawat kilang IBS LCDA CTR tersebut. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan dif-dif kenamaan yang lain.